Wednesday, September 2, 2009

Hajat yang tidak kesampaian




Aku buntu..Diselubungi perasaan yang teramat sedih. Salah seorang pesakit ku akan bakal meninggalkan daku. Sudah hampir 2 minggu dia berada di katil itu, setia menunggu bila keputusan doktor pakar untuk mengatakan sudah tiba waktu dia untuk beredar dari hospital. Orangnya sopan santun. Warganegara Myanmar, tapi sudah fasih berbahasa melayu dek sudah lama berada di sini. Setiap pagi, wajahnya akan sentiasa memaparkan senyuman dan bertanyakan khabar ku. Walaupun, hakikatnya kesakitan yang dialaminya Allah sahaja yang tahu betapa perit yang terpaksa ditanggung, namun dia tidak pernah merungut.


Setiap beberapa hari 'branula" nya terpaksa ditukar dan darah terpaksa diambil. Dia masih senyum. namun dari riak wajahnya, terpancar kesakitan yang ditanggungnya. Terlihat pada lengannya beberapa tanda-tanda merah seperti diukir dengan dakwat.


Aku menoleh ke arahnya.

" Pakcik, tanda-tanda merah ni kenapa ye ?"


" Oh, ni disebabkan agama pakcik. Untuk sembahyang" Dia menjawab ringkas.


" Boleh saya tanya, pakcik menganut agama apa?"


"Saya menganut agama buddha. "


Perbualan terhenti setakat situ saja. Tatkala itu, tidak timbul idea untuk bertanya dengan lebih lanjut. Cuma terdetik di hati, alangkah bahagianya sekiranya dia mendapat hidayah.


Setiap hari pakcik itu menampakkan senyumannya di samping tangannya akan melambai ke arah aku. Di hadapannya pakcik yang menghidap ' chronic obstructive pulmonary disease' juga menghadiahkan sekuntum senyuman. Kurang rasa tekanan bila melihat pesakit-pesakit yang begitu sabar sekali.


Hari ini doktor pakar telah memutuskan bahawa pakcik tu sudah pun sihat dan boleh pulang kembali ke rumah. Aku gembira bagi pihaknya. Akan tetapi...sedih apabila mengenangkan bahawa aku belum lagi sempat untuk berkongsi tentang betapa indahnya agama islam.


Sebelum dia berangkat kembali, aku melawatnya..mukanya kegirangan menantikan saat untuk pulang. Mulutnya tidak putus-putus berterima kasih terhadap aku, walhal tiada apa pun yang telah ku lakukan terhadapnya.


Namun, lidahku kelu..aku tidak tahu bagaimanakah untuk memulakan diskusi ini. Aku hanya mampu menerangkan tentang kondisi penyakitnya dan keperluannya untuk menghabiskan antibiotic sewaktu di rumah kelak.


Akhirnya...aku meninggalkan pakcik itu begitu sahaja..Hajat ku tidak kesampaian...


Ya Allah, berikanlah kekuatan pada Hamba Mu yang lemah ini..


No comments: