Thursday, August 6, 2009

stressful docs

Doktor disaran jalani latihan urus tekanan
Oleh Sazarina Shahrimsazarina@bharian.com.my

Stres punca ramai mahu tinggalkan bidang perubatan

KUALA LUMPUR: Doktor perlu diberi latihan pengendalian stres secara berterusan kerana kerjaya itu adalah antara bidang yang mempunyai tekanan kerja paling tinggi. Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata jika golongan itu tidak diberikan rawatan segera, ia boleh memudaratkan bukan saja doktor terbabit malah pesakit yang dirawat mereka.

Beliau berkata, berdasarkan kajian antarabangsa, doktor adalah antara kerjaya yang mempunyai tekanan kerja tinggi selain juruterbang, Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif. Justeru, beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan mengadakan program latihan pengendalian tekanan secara berterusan kepada golongan doktor ini supaya mereka dapat mengendalikan tekanan secara baik. "Tugas sebagai doktor memang memberi tekanan yang hebat dengan waktu kerja yang tidak menentu, ditambah dengan bebanan kerja sehingga mereka langsung tidak mempunyai masa untuk aktiviti peribadi.

"Program pengendalian tekanan selalunya dilakukan oleh syarikat besar untuk kakitangan mereka dan sudah tiba masanya doktor juga diberikan program seperti itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, mendedahkan 21.8 peratus doktor pelatih di seluruh negara memerlukan kaunseling dan 5.8 peratus pula memerlukan rawatan khusus.

Statistik itu berdasarkan satu kajian terbaru di 28 buah hospital besar yang menunjukkan 67.8 peratus doktor pelatih mendapati latihan mereka adalah terlalu stres dan 53 peratus kadang-kadang memikirkan untuk meninggalkan bidang itu kerana tidak tahan dengan tekanan.

Kajian itu juga menunjukkan stres paling tinggi ialah berkaitan dengan waktu kerja serta bebanan kerja dan 30 peratus hingga 40 peratus daripada mereka tidak mempunyai masa untuk aktiviti sosial dan rekreasi.

No comments: