Sunday, December 21, 2008

CARING FOR THE ORANG ASAL





aRKIB : 09/12/2008

Mendekati masyarakat Orang Asli perlu strategi

JANGAN tipu Orang Asli. Kami tidak mudah ditipu dan payah untuk diyakini oleh orang luar, terutama dari bandar.

“Kalau mahu kami percaya, yakin dan terima ‘orang luar’, jangan pandang rendah dan jijik dengan cara dan budaya hidup masyarakat kami.”

Demikian ingatan jujur Tok Batin Husin Ngah Yin, dari Perkampungan Orang Asli Hulu Gombak ketika menyuarakan kegelisahan masyarakatnya pada seminar Program Dakwah Orang Asli yang berlangsung di kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 16 November lalu.

Orang luar menurut Tok Batin Husin, hanya boleh menjadi ‘saudara’ Orang Asli jika mereka datang, duduk, makan, bergaul dan tinggal bersama dan sedia melalui amalan budaya hidup mereka.

Beliau menyuarakan sedemikian ekoran jarang berlaku pendakwah muslim tempatan negara ini berminat untuk menjelajah dan tinggal di perkampungan Orang Asli dalam menjalankan kerja dakwah.

Jika ada yang turun padang pun beritahunya, pendakwah sama ada dari agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, sekadar datang bagi mengislamkan Orang Asli bukan memuslimkan mereka.

Pendakwah Islam menurutnya, tidak ada bezanya dengan orang politik. Mereka datang apabila menjelang pilihan raya, tetapi selepas itu lesap dan tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar lagi sehingga tiba pilihan raya berikutnya pula.

“Sebenarnya apa yang dibuat oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan Islam sekarang tidak diperlukan oleh Orang Asli,” jelasnya.

Sebaliknya apa yang diperlukan oleh Orang Asli mengenai keagamaan ialah mengetahui di mana Tuhan dan untuk siapa serta di mana boleh dapat syurga, tegasnya.

Sebab itu beritahu Tok Batin Husin lagi, untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli mereka perlu bijak dalam mengguna pendekatan perkara-perkara yang jelas lagi nyata.

“Inilah pendekatan pendakyah Kristian sehingga mereka berjaya mempengaruhi Orang Asli biarpun hakikatnya mereka tidak yakin dan sukar menerima konsep tiga tuhan dalam doktrin Kristian yang disogokkan kepada mereka,” jelasnya.

Seminar program dakwah untuk masyarakat Orang Asli itu diadakan atas usaha Persatuan Alumni Kolej Islam Klang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program setengah hari itu telah dihadiri oleh penggiat kerja-kerja dakwah di kalangan badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan individu sekitar Lembah Klang.

Bagi Tok Batin Husin, Orang Asli dan Orang Melayu adalah serupa.

“Kita sama-sama rakyat pribumi. Jadi biarlah susah dan senang dikongsi bersama, bukan terus memencil dan meminggirkan Orang Asli sama ada dalam pembangunan mahupun keagamaan,” ujarnya.

Walaupun Orang Asli asalnya tidak ada apa-apa pegangan keagamaan dan masih terlalu banyak yang buta huruf, tetapi peredaran masa dan keadaan kata beliau, tetapi keinginan untuk mengenal dan mempercayai Tuhan telah wujud dan semakin tinggi.

Orang Asli menurut Tok Batin Husin, adalah masyarakat yang penuh budi bahasa dan lembut terhadap orang luar, sebagaimana orang Melayu.

Tetapi dalam komuniti Orang Asli sendiri tegas beliau, mereka sebenarnya garang, liar dan agak ganas.

“Sebenarnya ramai dari kalangan masyarakat kami sekarang sedang mencari dan ternanti-nanti orang yang boleh menunjukkan mereka jalan kepada Tuhan,” jelasnya.

Menurut Jasut Yusof pula, Orang Asli yang telah diislamkan mesti terus didampingi oleh para pendakwah bukan hanya untuk menyampaikan ceramah.

“Mereka perlu didakwah secara fizikal dan lahiriah, sama ada menyedia dan membekalkan pelbagai keperluan asas hidup atau terus berkampung bersama mereka,” beritahu pegawai kesihatan Hospital Orang Asli Gombak itu.

Sikap dan pendekatan itulah beritahu Jasut, diamalkan oleh mubaligh dan kalangan pendakyah Kristian.

Menurutnya, para mubaligh bukan Melayu gemar berhijrah dan bermastautin di kampung-kampung Orang Asli dan menjadi sebahagian daripada kelompok kami demi menjayakan misi Kristian mereka.

“Tetapi ini tidak dilakukan oleh pendakwah Islam dan orang Melayu terutamanya, sebab mereka tidak dapat menerima cara dan budaya hidup Orang Asli di pendalaman.”

Sedangkan kebanyakan masyarakat kami lebih meyakini Islam sebagai agama bukan Kristian atau yang lainya, tambahnya.

Kata Jasut, Orang Asli ada 18 sukuan etnik dan masing-masing mempunyai bahasa, budaya hidup, kepercayaan dan amalan yang berbeza.

“Jadi adalah lebih mudah bagi mana-mana pendakwah mengenali sukuan etnik berkenaan dan menjadikan Tok Batin atau yang berpengaruh dalam sesuatu sukuan sebagai sahabat serta saudara sendiri,” jelasnya.

Dalam hubungan ini, Datuk Dr. Abdul Razak Awang Kechik yang berpengalaman berpuluh tahun berbakti dan mendampingi masyarakat Orang Asli pedalaman di seluruh negara berpendapat, tidak ada sebab mengapa masyarakat Orang Asli tidak Islam.

“Kecuali jika kita umat Muslim tidak melaksanakan tanggungjawab untuk menyebar dan mengajak mereka kepada Islam,” katanya.

Yang menjadi masalah kata beliau, kalangan pendakwah sendiri tidak faham konsep dakwah dengan beranggapan dakwah ialah berceramah mengenai Islam dan mengislamkan saudara baru.

“Setiap dari kita perlu fahami dan hayati apa yang terkandung dalam surah al-Ikhlas, kerana tugas berdakwah ini bukan peranan orang-orang agama sahaja tetapi setiap muslim,” katanya.

Oleh itu, tegas beliau, setiap Muslim terutama para pendakwah sendiri perlu menghayati Rasulullah SAW berdakwah dan kembali kepada konsep dakwah yang disarankan oleh al-Quran.

Doktor perubatan bergerak persendirian yang memilih berbudi kepada Orang Asli, sekali gus menyebarkan Islam kepada mereka turut memberikan tujuh sebab mengapa masyarakat Orang Asli perlu memilih Islam.

lIslam agama rasmi negara dan Orang Asli adalah rakyat pribumi sebagaimana Orang Melayu.

lYang Di Pertuan Agong dan semua pemimpin adalah Islam.

lOrang Asli perlu bergabung dengan Orang Melayu untuk jadi bangsa kaum yang kuat.

lSemua agensi dan jabatan kerajaan bertanggungjawab membantu.

lOrang Asli terlalu banyak pecahan etnik akan hancur dan lenyap jika tidak pilih Islam.

lOrang Asli Kristian memusuhi Orang Asli amanisme dan Islam tetapi muslim Melayu berjiran dengan Orang Asli dalam semua aspek dan boleh bersatu dalam Islam dan fitrah kemanusiaan.

lHanya Islam agama yang benar, baik dan diterima Allah SWT.

Sehubungan itu Dr. Razak yang menghabiskan sebahagian besar daripada profesion dan hidupnya bersama masyarakat Orang Asli menyarankan agar pendakwah Muslim membuat perubahan drastik bagi memastikan kehidupan Orang Asli lebih Islamik.

“Membawa Islam kepada Orang Asli adalah amanah dan tanggungjawab setiap Muslim,” tegasnya.

Lagipun tambah beliau, Orang Asli sudah lama kenal Islam malah mereka sudah tahu dan biasa dengan Islam kerana Orang Melayu adalah sebahagian daripada komuniti mereka.

Para daie katanya, perlu belajar daripada cara dakyah yang digerakan oleh Sidang Injel Borneo (SID) yang banyak masuk dan tinggal di perkampungan Orang Asli untuk mengkristiankan mereka dan menanamkan permusuhan terhadap Islam.

(utusan malaysia : 9/12/08)

No comments: